Wednesday, September 22, 2010

makanan segera semakin berleluasa!!






Restoran makanan segera wujud di merata tempat dan perniagaan makanan segera semakin berkembang secara besar-besaran. Di setiap penjuru bandaraya Kuala Lumpur dapat kita jejaki Restoran makanan segera.

Makanan segera sememangnya menjadi budaya dan tidak dapat dipisahkan dengan kehidupan masyarakat kita. Kebanyakan orang sangat bergantung dengan makanan segera sama ada untuk sarapan, makan tengah hari dan makan malam. Tambahan pula, sesetengah pengusaha restoran makanan segera mengadaptasikan budaya tempatan dalam menu masakan mereka seperti rasa pedas dan tomyam yang digemari masyarakat Malaysia. Ini menyebabkan budaya makan makanan segera semakin berleluasa di Malaysia terutamanya dalam kalangan remaja. Pengusaha bukan sahaja membuka restoran makanan segera ala Malaysia malah ada sesetengah di antara mereka turut mempromosi makanan luar negara. Mereka sering menjual makanan berkalori tinggi yang mungkin hanya diperlukan oleh masyarakat di negara sejuk dan bukan di negara kita.

Bagi masyarakat Malaysia, pengambilan makanan segera yang berlebihan telah mengakibatkan masalah obesiti atau kegemukan. Mengikut statistik yang ditunjukkan, obesiti di kalangan penduduk Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas meningkat tiga kali ganda daripada 4.4 peratus pada 1996 kepada 14 peratus pada 2006. Berdasarkan kepada kajian yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan, kadar kegemukan atau obesiti di Malaysia adalah tinggi berbanding negara-negara lain di rantau ini. Di Malaysia, 4 orang daripada 10 orang dewasa mengalami masalah kegemukan.
Obesiti telah menjadi punca masalah kesihatan di Malaysia. Obesiti berkait dengan kebanyakan masalah kesihatan di kalangan kanak-kanak dan remaja. Akibatnya, kes-kes penyakit kronik meningkat di kalangan rakyat seperti kencing manis, sakit buah pinggang, jantung dan sewaktu dengannya. Semua ini berpunca daripada pengambilan yang berlebihan terhadap makanan segera. Oleh itu, masyarakat tidak sepatutnya menjadikan makanan segera sebagai menu utama dalam pemakanan mereka. “mencegah lebih baik daripada mengubati”.

…sekadar bicara…

Keterangan lanjut layari laman sesawang www.konsumerkini.net.my


No comments:

Post a Comment