Monday, April 4, 2011

,,membaca!!!???

Apakah itu membaca??adakah ianya satu aktiviti yang membosankan?tidak seronok?atau membuang masa?

Membaca tidak semestinya membaca buku-buku ilmiah yang mengandungi segala fakta dan topik yang berat serta serius. Membaca boleh dibahagikan kepada beberapa kategori sepertimana yang biasanya kita lihat dalam perpustakaan atau pusat sumber. Terdapat sudut buku ilmiah,buku cerita, dan sebagainya. Dengan membaca buku cerita,novel,surat khabar,majalah dan sebagainya individu tersebut sudah dikira membaca.

Hanya individu yang dapat menghayati dan tahu akan kebaikan membaca sahaja akan merasa seronok dengan amalan membaca kerana dengan membaca kita akan menjadi individu yang berpengetahuan dan dapat mempersembahkan ketajaman intelek kita.

Melalui pembacaan kita akan dapat mengetahui pengalaman orang lain yang mungkin tidak pernah kita alami sepanjang kehidupan kita. Melalui pembacaan juga kita dapat menggabungkan idea-idea yang bernas dengan pengalaman kita sendiri dan orang lain. Biasanya seseorang individu mempunyai perbezaan dengan individu yang lain apabila mengeluarkan idea atau pendapat. Jika individu tersebut lebih banyak membaca berbanding individu seorang lagi, buah fikirannya akan berbeza. Sudah semestinya buah fikiran individu yang suka membaca itu akan lebih bernas dan masuk akal.

Dalam ajaran Islam sendiri telah terbukti bahawa ayat Al-Quran pertama diturunkan adalah IQRA’ bermaksud bacalah. Seruan membaca bukannya sesuatu yang baru malah sejak awal kejadian manusia telah dititikberatkan dan disemai dalam diri manusia. “Hanya orang yang membaca mampu merubah dunia” (Lord Chesterfield)(buku motivasi 'anda berkarisma apabila..?) Melihat kepada mutiara kata tersebut,sudah terang lagi bersuluh bahawa amalan membaca sangat penting dalam kehidupan kita. Berdasarkan kajian pula,hampir semua pemimpin dunia yang berjaya masa kini bermula dengan tabiat membaca yang berterusan. Hasil daripada pembacaan tidak terus dapat kita lihat dalam jangka masa pendek kerana ianya mengambil masa untuk melihat hasilnya. Pendek kata amalan membaca perlu dipupuk dalam diri kita bermula dari sekarang. Tiada istilah terlambat dalam menimba ilmu pengetahuan yang berguna. Selagi hayat dikandung badan selagi itulah kita berpeluang untuk mendapat ilmu.

....sekadar bicara...


No comments:

Post a Comment